MANJUNG – Empat suspek termasuk dua wanita telah ditahan bagi membantu siasatan berkenaan kematian bayi perempuan berusia enam bulan di Hospital Sri Manjung, di sini awal pagi tadi dipercayai akibat didera.

Empat suspek tersebut merupakan ibu dan bapa tiri bayi berkenaan serta pengasuh dan suami pengasuh berumur berumur 25 hingga 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan siasatan kini dijalankan dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil bedah siasat ke atas mayat bayi yang disyaki didera oleh pihak doktor mengesahkan punca kematian disebabkan oleh jangkitan kuman teruk dengan masalah pembekuan darah disebabkan kecederaan yang disengajakan serta pendarahan pada kepala dan tulang rusuk kiri telah patah.

“Terdapat empat tangkapan telah dibuat setakat ini iaitu ke atas dua wanita dan dua lelaki bagi tujuan membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Bayi berusia enam bulan terbabit telah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.45 pagi tadi selepas empat jam menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Bayi tersebut sebelum itu dirujuk ke hospital oleh pihak penjaga dan bagi tersebut keadaan lemah semasa sampai di Hospital sekitar jam 2 pagi.

“Doktor syak berkemungkinan berlakunya kes penderaan dan rawatan awal telah diberikan terhadap bayi tersebut, tetapi telah disahkan meninggal pada sekitar 6 pagi,” kata Muhammad Hanif.