PONTIAN 7 Sept. – Seorang wani­ta dan teman lelakinya ditahan polis kerana dipercayai mendera anak perempuannya yang berusia empat tahun sehingga menyebabkan kematian di Hospital Pontian, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat banyak kesan lebam pada badan mangsa, Nurul Natasya Aliya Abdullah yang di­sahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 petang.

Menurutnya, siasatan awal men­dapati mangsa berada di bawah jagaan ibunya yang berusia 27 tahun dan kekasihnya berumur 26 tahun di Taman Juta, di sini.

“Hasil daripada maklumat yang diperoleh, polis bertindak menahan ibu mangsa bersama teman lelakinya yang tinggal di sebuah bilik sewa di Taman Juta, di sini sejak bulan lalu.

“Kedua-dua suspek yang tinggal bersama itu mengakui memukul mangsa beberapa kali kerana mangsa dikatakan nakal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zakaria berkata, ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai dan pasangannya yang tidak bekerja direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi siasatan lanjut.

“Pihak hospital sedang menjalankan bedah siasat bagi me­ngenal pasti punca sebenar kematian dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-Utusan Online