TAIPING: Seorang wanita maut manakala dua anaknya cedera apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan di Kilometer 220 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran susur masuk Changkat Jering pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar 5.30 pagi itu, mangsa, V Kaliani, 58, yang duduk di bahagian belakang, maut di lokasi kejadian apabila kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandu anak lelakinya, hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang besar bahagian kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati anak lelakinya turut mengalami kecederaan parah manakala anak perempuannya mengalami cedera ringan dalam insiden itu.

“Kami juga mendapati tiada sebarang kesan brek ditemui pada permukaan jalan mahupun kesan pelanggaran kenderaan lain,” katanya kepada pemberitahu.

Menurut Harrith Kam, mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk dibedah siasat manakala yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujar beliau.