WANITA maut manakala suami dan tiga anak mereka cedera dalam kemalangan di Jalan Serdang-Kelang Lama berhampiran Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kulim, Kulim, petang semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, mangsa Rahmah Mohamad Yusop, 43, yang beralamat di Taman Mutiara Sungai Kob, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian berlaku ketika keluarga itu yang menaiki kereta Perodua Alza dalam perjalanan dari Serdang menghala ke Kelang Lama.

“Berdasar siasatan awal, kereta dipandu suami mangsa berusia 42 tahun, secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar pokok kelapa sawit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan parah di kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudian menghubungi pihak polis, ambulans serta bomba untuk bantuan kecemasan.

Beliau berkata, suami mangsa serta tiga anak berusia 19 bulan, lima tahun dan 11 tahun dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, bayi berkenaan cedera di perut, anak berusia lima tahun patah kaki, anak berusia 11 tahun cedera di kepala dan patah kaki manakala suaminya cedera di kepala.

“Jenazah Rahmah dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – hmetro