PASIR MAS : Gara-gara mendakwa anak dimarahi anggota polis, seorang ibu ‘naik hantu’ dan mengamuk sehingga menimbul kekecohan di pejabat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, anggota polis wanita berpangkat koperal itu dikatakan turut ditendang selain ditarik tudungnya oleh ibu berkenaan yang merupakan seorang guru.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, bagaimanapun anggota berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat tindakan luar kawalan itu.

Beliau berkata, guru tersebut bertindak demikian selepas berang mengetahui anaknya dimarahi oleh anggota trafik selepas terlibat dalam satu kemalangan.

“Bagaimanapun itu hanyalah dakwaan yang dibuat oleh wanita berkenaan kerana tiada saksi mendengar anaknya telah dimarahi,” katanya di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, suspek kemudian telah berjaya ditahan dan dibebaskan atas jaminan polis selepas keterangan direkodkan.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Saya ingatkan orang ramai supaya tidak bertindak diluar kawalan ketika berurusan di pejabat-pejabat awam,” ujarnya.

Katanya, tindakan luar kawalan itu boleh menyebabkan mereka berdepan hukuman jika disabitkan kesalahan.