GERIK: Anak sulung salah seorang mangsa kemalangan maut yang meragut empat nyawa di Jalan Raya Timur Barat, Gerik – Jeli menceritakan kelakuan pelk ibunya sebelum menemui ajal.

“Dia sediakan makan untuk saya tiap-tiap hari dalam seminggu ni. Benda tu memang dia jarang buatlah, kalau saya tak mahu makan pun dia bungkus,” kata Muhd Rohaizad Azizan, 32.

Rohaizad adalah anak sulung kepada Allahyarham Wan Teh Abdul Aziz, 54, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 45.4, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat sini tengah hari tadi membabitkan kereta Audi, Nissan Frontier dan Perodua Kenari.

be70fd61-6b34-4cce-9d23-a65f77cc59c7

Kemalangan 1 tengah hari itu turut mengorbankan adiknya Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17, serta dua lagi mangsa yang menaiki Nissan Frontier.

Rohaizad yang ditemui di pekarangan unit forensik Hospital Gerik malam ini berkata, ibu dan ayahnya, Azizan Desa, 60, ke Kelantan berempat untuk menghadiri kenduri kahwin menaiki kereta Audi yang dipandu ayahnya.

Ayahnya dan adik perempuan Nurul Khairulnissa Azizan, 19, bagaimana pun terselamat.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa ibu dan adik bongsu pada Khamis lalu dan tidak sempat bertemu mereka sebelum bertolak ke Kelantan kerana pergi bercuti anak dan isterinya.

“Kira-kira jam 2 petang hari ini saya  mendapat panggilan telefon daripada individu memaklumkan keluarga saya terbabit kemalangan sebelum bergegas ke Hospital Gerik dan tiba kira-kira jam 6 petang.

“Saya dimaklumkan oleh adik perempuan yang terselamat, ayah sedar sepanjang kejadian berlaku sehinggalah dirawat di hospital dan diberi ubat penenang kerana dipercayai mengalami pendarahan dalaman serta terpaksa dipindahkan ke Hospital Taiping,” katanya.

Menurutnya, walaupun sedih kehilangan ibu yang memang rapat dengannya serta adik bongsu dia reda apa yang berlaku.

Rohaizat memberitahu, jenazah ibu dan adiknya itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah berhampiran dengan kediaman ibu bapanya itu di Bandar Perdana.