BALING: Seorang ibu tunggal nyaris maut dibelit ular sawa sepanjang enam meter di rumahnya di Kampung Ulu Tawar Tengah, Mukim Bakai di sini, malam tadi.

Anifah Othman, 52, dibelit ular sawa seberat kira-kira 50 kilogram jam 11 malam ketika sedang menyusun barang makanan di dapur.

Mangsa bernasib baik kerana jeritannya selepas digigit reptilia itu didengari dua anaknya yang kemudiannya membantu bersama jiran menyelamatkannya yang sudah dibelit hingga paras pinggang.

Mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membuka belitan ular dengan membunuh haiwan itu.

Dia yang cedera digigit di kaki dan luka di tangan serta kepala akibat bergelut dengan ular sawa itu, dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Anifah dijangka dibenarkan keluar hospital petang ini.

Anak mangsa, Mohd Rasul Abdullah, 16, berkata dia dan adiknya bergegas ke dapur selepas mendengar jeritan ibunya.

“Kami bergegas masuk ke dapur dan terkejut melihat emak sedang dibelit ular sawa. Saya membantu emak manakala adik berlari meminta pertolongan jiran.

“Ular sawa membelit emak sampai paras pinggang dan mujurlah jiran cepat membantu dan menyelamatkan emak,” katanya.

Mohd Rasul bersyukur kerana ketika kejadian mereka berada di rumah, jika tidak mungkin kejadian lebih buruk berlaku pada emaknya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.30 malam dan sampai ke lokasi 40 minit kemudian.

“Ular sawa itu ditetak oleh penduduk dalam usaha untuk menyelamatkan mangsa,” katanya – Berita harian