IPOH: Mayat seorang ibu tunggal berusia 53 tahun ditemui dengan kesan luka di badan dipercayai dibunuh di dalam rumahnya dekat Taman Datuk Lew Yap Sip, Ampang pada Isnin.

Mangsa, Hamidah Abdul Rahman, ibu kepada empat orang anak, ditemui oleh anak bongsunya, Noor Shairah Hussin, 17, ketika sedang bersiap untuk ke sekolah sekitar jam 5.30 pagi.

Menurut Noor Shairah, ibunya ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam salah sebuah bilik tidur.

“Selalunya ibu akan bangun pagi sekitar jam 5 pagi untuk pergi kerja tetapi tadi dah pukul 5.30 pun, ibu masih lagi di rumah.

475f38b4-debe-40c2-92a5-6385dcd8f4a8

“Saya panggil dia dalam bilik tapi tak jawab, jadi saya masuk bilik ibu buka lampu dan ternampak katil ibu dipenuhi darah, ibu pula dalam keadaan meniarap dan saya nampak kesan luka di badan belakang,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian.

Noor Shairah memberitahu terdapat kesan terbakar pada bahagian kerusi meja solek dan langsir bilik ibunya itu.

“Kali terkahir saya jumpa ibu petang semalam di rumah, kami makan bersama kemudian ibu keluar sekitar jam 8.30 malam dan saya ada dengar dia balik sekitar jam 12.30 tengah malam.

 

f77a54b0-a615-46ee-95fc-d8d8580ca0a3

“Kami di rumah tinggal tiga orang sahaja, abang keluar kerja malam semalam dan tadi baru balik apabila kami hubungi dia,” jelas beliau.

Difahamkan, mangsa baru sahaja melangsungkan pertunangan pada Khamis lalu dan merancang untuk berkahwin pada Mei ini dengan seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Jurucakap polis ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian dan mayat wanita itu dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.