Oleh: Aida Aziz

IPOH: Beberapa idea bernas yang terkumpul menerusi Perak Festival of Ideas (PFoI) bersempena Pangkor Dialogue 2017 akan disalurkan kepada kerajaan Persekutuan selain diambil kira sebagai cadangan untuk dimasukkan dalam Bajet 2018.

IMG_3165Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, beberapa idea yang dikemukakan oleh pelbagai pihak menerusi program dan seminar sepanjang PFoI dilihat mempunyai kepentingan malah sudah ada tindakan yang diambil untuk memastikan ia bukan sekadar tinggal idea.

“Saya selalu sebutkan bahawa apa pun persepsi di kalangan pihak tertentu yang sama ada melihat secara sinis dan sebagainya. Bagi saya idea adalah idea, dan untuk kita memulakan sesuatu, kita bermula dengan idea,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Perak Festival of Ideas JV Challenge – Smart City Challenge & My KPerak Robotic Programme di Perpustakaan Negeri Perak di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Dr. Zambry menjelaskan, beliau turut menghantar idea yang dikumpul secara terus kepada Menteri Kewangan Kedua untuk dipertimbangkan khususnya cadangan yang berkaitan program tanggungjawab sosial corporat (CSR) di sekolah-sekolah.

IMG_3198

“Antara idea yang boleh dipertimbangkan ialah, kaedah menggalakkan CSR di peringkat sekolah dan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) dibenarkan untuk menerima sumbangan dari pihak korporat atau individu yang ingin menyumbang kepada sekolah, serta dikecualikan cukai secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya sasaran untuk mengumpul 10,000 idea akan terlaksana berdasarkan sambutan daripada orang ramai yang memberi cadangan melalui pelbagai cara termasuk interaksi secara terus dengan jabatan yang terlibat.