IPOH: Bertitik tolak daripada hasrat menjauhkan dirinya dari masalah obesiti, Datuk Bandar Oklahoma City, Mick Cornett berusaha membebaskan bandaraya itu daripada terus tersenarai sebagai “Bandaraya Paling Gemuk” di Amerika Syarikat (AS).

Menceritakan pengalamannya mengubah status bandaraya itu, Cornett berkata, bersandarkan idea tersebut, lahirlah cabaran “This City is Going on a Diet!” yang menggalakkan warganya mengurangkan berat badan dan menjadi lebih aktif.

Beliau berkata, sebagai Datuk Bandar, gelaran yang diberikan kepada Oklahoma City tidak membanggakan dirinya dan beliau bertekad untuk mengubah status itu serta mewujudkan infrastruktur yang menggalakkan rakyatnya bersenam.

“Sebelum ini, saya hanya membangkitkan tentang perkara terbaik di Oklahoma termasuk bab ekonomi, peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Namun, apabila media bertanyakan kepada saya tentang masalah kegemukan, saya betul-betul tiada jawapan, dan ia kerap menghantui diri saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (Pangkor Dialogue) 2017 di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Cornett berkata, pendekatan terbaik wajar dilakukan bagi menyedarkan warga Oklahoma tentang masalah kegemukan.

“Kami mencabar warga Oklahoma termasuk diri saya sendiri untuk menurunkan berat badan.
“Kami mewujudkan laman web ‘This City Is Going On a Diet’, wargakota boleh mengaksesnya dan memberitahu berat badan mereka.

“Dalam sepantas kilat, beribu-ribu orang terlibat (dalam cabaran itu),” katanya.

Setelah berjaya menukar status bandaraya itu dari masalah kegemukan, Cornett kemudiannya merangka strategi untuk mewujudkan lebih banyak laluan pejalan kaki dan kemudahan awam bersifat mesra senaman.

“Sebelum ini tiada tempat untuk pejalan kaki sedangkan kami cuba untuk menggalakkan orang bersenam serta berjalan kaki, inilah ironinya.

“Oleh itu, kami berpandangan ia perlu disusun semula, jika mahu membina sebuah bandar yang maju, perkara yang perlu dititikberatkan ialah kesihatan,” katanya.