MAYAT wanita hampir reput yang ditemui terapung di Sungai Pegalan berhampiran Kampung Pulong, Melalap, Tenom, kelmarin, belum dikenal pasti.

Mayat wanita yang hanya memakai baju dalam itu ditemui tersangkut pada tiang pam air milik syarikat Sime Darby di sungai berkenaan kira-kira 7 pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, Asisten Superintendan Ahmad Razali berkata, proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa akan dijalankan oleh pakar pada Isnin ini.

“Setakat ini belum (kenal pasti identiti) dan bedah siasat hanya akan dijalankan pada Isnin ini oleh pakar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ketika mayat itu ditemui, polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa, selain tiada laporan kehilangan ahli keluarga di sekitar daerah ini.

Mangsa dianggarkan berusia lingkungan 20-an dan siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai tanda tatoo di kedua-dua belah kaki dan tangan.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga perempuan sama ada di daerah Tenom atau Keningau diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk membantu siasatan – berita harian