KUALA LUMPUR – Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini mengumumkan pelantikan tiga anggota lembaga pengarah baharu termasuk Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Pengerusinya Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata pelantikan Madinah yang berkuat kuasa 23 Februari lalu adalah bagi menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang bersara pada 22 Februari lepas.

Turut dilantik ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman yang menggantikan Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang tamat perkhidmatan pada 31 Disember lepas serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Dzulkifli Ahmad yang dilantik menggantikan Tan Sri Abu Kasim.

Pelantikan Zainal Rahim berkuat kuasa pada 16 Januari manakala pelantikan Dzulkifli pula berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

“Harapan saya ialah agar mereka terus memberikan sumbangan dan idea-idea baharu untuk kita laksanakan di institut ini,” kata Ali kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Integriti ke-13, di sini.

Ali berkata setakat ini jumlah anggota Lembaga Pengarah IIM ialah 11 orang termasuk lantikan baharu dan jumlah maksimum yang dibenarkan ialah 17 orang.

Beliau turut berkata institut itu menyasarkan untuk menambah keanggotaan kepada 1,000 orang dan menggalakkan individu atau wakil institusi untuk mendaftar sebagai anggota. –Bernama