KUALA LUMPUR – Mana-mana kerajaan menyimpan ahli Kabinet yang didapati menipu mengenai latar belakang pendidikannya bererti kerajaan itu tidak begitu mengambil berat soal integriti.

Demikian menurut Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berhubung isu status akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang tular baru-baru ini.

“Mana-mana kerajaan yang berwibawa di dunia ini tidak akan membenarkan wujud dalam kepimpinan mereka anggota yang memiliki sijil palsu atau sijil beli.

“Tidak jujur tentang pemilikan sijil adalah lambang tidak amanah dalam diri,” katanya di Twitter.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa dirinya adalah graduan University of Cambridge yang bertempat di United Kingdom.

Semalam, Marzuki mengakui bahawa beliau bukan graduan lepasan University of Cambridge, antara salah sebuah institusi pengajian tinggi yang dilabel berprestij di dunia.

Sebaliknya, beliau memaklumkan hanya mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Cambridge International University di Amerika Syarikat (CIU-USA).

Sebelum ini, beliau mengisytiharkan mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Cambridge, United Kingdom, iaitu Bachelor’s Degree in Business Administration from the University of Cambridge, yang diambil secara jarak jauh.

Namun, pihak universiti itu telah menafikan tidak menawarkan sebarang pengajian jarak jauh bagi sebarang pengajian ijazah seperti yang didakwa oleh Marzuki. – MalaysiaGazette