Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Sebuah motosikal jenis Modenas milik Tun Dr Mahathir Mohamad dibida dengan harga RM10,000 dalam satu majlis makan malam amal anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia malam tadi.

Bidaan motosikal merupakan antara barangan lelongan yang berjaya mengumpul dana sehingga RM320,000 pada makan malam yang diadakan di Hotel Kinta Riverfront Ipoh.

Selain itu, lelongan sebuah kereta import Mini Cooper S sumbangan ahli parti juga berjaya mendapat bidaan untuk RM70,000 pada majlis itu yang dikendalikan pengacara terkenal tanahair, Maria Tunku Sabri.

Kemuncak bidaan adalah persembahan nyanyian mantan Perdana Menteri Malaysia dengan lagu pilihan beliau ‘My Way’ yang dipopularkan oleh Frank Sinatra yang mencecah sehingga RM 10,500.

Selain itu,PPBM turut menerima sumbangan dana peribadi daripada pengasas IJM Corp dan Gamuda, Koon Yew Yin yang menyampaikan sebanyak RM200,000 dalam acara tersebut.

dana_ppbm_mahathir 2Sementara itu, Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru ahli parti memastikan misi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional menjadi kenyataan bagi membolehkan parti itu mengembalikan status Malaysia sebagai the ‘Asian Tiger’ atau Harimau Asia.

“Kita perlu tunjukkan kebolehan kita,kita telah tunjuk apabila kita diperintah dengan baik. Sehingga kita dikenali sebagai “the Asian Tiger’. Kita tahu kita boleh lakukan sekiranya pemimpin yang ada sekarang ditumbangkan,” katannya.

“Kemampuan itu tidak terhad kepada zaman itu sahaja, kita juga mampu pada zaman ini sebab itulah kita perlu tunjukkan kemampuan kita untuk kembali semula, mencapai taraf Asian Tiger,”katanya dalam ucapan beliau.

Tambahnya, dunia hari ini bukan lagi berpaksikan kepada euro-centric atau tertumpu kepada Eropah sebaliknya berpusat kepada Asia.

Jelasnya, ianya merupakan satu pemangkim untuk mengejar kemajuan dan menjadi sebahagian daripada negara Asia pada hari ini.

Turut hadir dalam majlis makan malam amal itu, Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.