Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Penggemar ikan bakar kini tidak perlu tercari-cari menu istimewa itu apabila sebuah restoran di Meru kini menawarkan masakan ikan ala Bali Indonesia yang pasti menjanjikan kepuasan.

Restoran Mak Nani Ikan Bakar yang baru memulakan perniagaannya September ahun lalu, kini sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk setempat.

Pemilik restoran, Roslan Md Sharif, 39, berkata restoran itu pada mulanya merupakan idea secara bidan terjun yang dicadangkan bersama isterinya ketika mula-mula kembali ke Ipoh setelah puas merantau di ibukota Kuala Lumpur.

Menu ikan bakar sememangnya menjadi kegemaran warga Malaysia, khususnya mereka yang gemar makanan laut.

Uniknya, adunan dan cara memanggang ikan bakar tersebut bukanlah seperti kebiasaan kerana tekstur ikan bakarnya garing di bahagian luar dengan rasa masin dan pedas hasil gabungan bawang dan kuah.

Apa yang menarik, ia tidak menjejaskan kelembutan isi ikan kerana ramuannya berjaya mengekalkan kesegaran tersebut.

“Ikan Bakar  di sini disaluti dengan pes istimewa ramuan ikan bakar kami dan kemudian dipanggang dengan api perlahan bagi memastikan isinya masak tetapi tidak kering sepenuhnya, sementara kami menumis bendi dan bawang besar  dengan adunan ikan Bali Indonesia pada masa sama.

“Selepas itu, ikan tersebut akan digoreng bersama minyak untuk membuatkannya garing di bahagian luar, sebelum dihidangkan bersama bahan tumisan sayur tersebut,” katanya kepada Suara Perak.

Anak kelahiran Kuala Kangsar itu berkata, dia memilih lokasi di Meru berikutan tempat itu berdekatan dengan lebuhraya, selain berhampiran dengan kawasan perumahan utama dan Jelapang yang bakal membangun satu hari kelak.

Roslan memberitahu, restoran Mak Nani Ikan Bakar diilhamkan daripada nama timangan isterinya dan dia bersyukur kerana risiko yang diambilnya ternyata berbaloi dengan sambutan yang cukup memberangsangkan.

“Saya dan isteri percaya, kelainan yang ditampilkan oleh restoran ini, seperti menu Nasi Goreng Mak Nani, Lamb Chop, Chap Chai dan banyak lagi dapat menjadi tarikan utama kepada orang ramai.

“Apatah lagi, pengunjung boleh memilih ikan mereka sendiri untuk dibakar oleh chef kami, antaranya siakap, kembung, tilapia merah, pari dan jenahak,” katanya sambil menambah ramai di antara pelanggan tetap akan membawa hasil tangkapan ikan mereka ke restorannya.

Restoran Mak Nani terletak berhampiran dengan stesen minyak Petronas Meru dan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam, mempunyai 12 pekerja termasuklah tukang masak tempatan yang sememangnya membuatkan pengunjung kecur air liur dengan masakannya.

Pengunjung tetap, Khairul Syafawi Tajuddin, 35, mengakui dia seakan jatuh hati dengan adunan ikan bakar yang membuatkannya datang berkali-kali ke restoran tersebut.

“Sebenarnya saya sering datang pada waktu sarapan dan sebagai seorang yang suka memasak di rumah, resepi ikan bakar Mak Nani ini bagi saya amat istimewa kerana saya tidak dapat mentafsir rempah dan adunan yang ada, itu membuatkan saya teruja.

“Gabungan kacang bendi, berserta dengan ikan yang segar dan haruman mentega memang membuatkan kami meratah hingga tinggal tulang sahaja ikan ini,”katanya tersenyum.

“Kita turut menyajikan persembahan busker, sesi karaoke dan perkhidmatan PA system untuk memeriahkan lagi suasana di restoran ini,” katanya.

875c106c-e8d6-4420-9707-e208537c9cc8

ec840eae-39a9-43e3-b9d1-d5cf03134c20      9e60525a-9336-4932-8426-6a6eff09961b