KAMPAR: Penduduk Kuala Dipang mendesak pihak Majlis Daerah Kampar (MDK) mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kolam ternakan ikan yang memberikan bangkai khinzir sebagai makanan kepada ikan ternakan.

Mereka mahukan tindakan segera dibuat sebagai memulihkan semula imej Kuala Dipang yang selama ini terkenal sebagai kawasan pengeluar ikan ternakan.

Menurut seorang penduduk yang juga penternak ikan darat, Mohd Risdi Ghazali, 40, dia amat terkejut dan kecewa apabila kegiatan pengusaha ternakan ikan itu didedahkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan disiarkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini.

“Kami terkejut kerana isu ini memang akan menjejaskan pendapatan kami kerana dengan hasil itu jugalah kami menyara keluarga,’’ katanya kepada Suara Perak pada Sabtu.

Menurut Risdi, setakat ini di kawasan jalan Kuala Dipang menghala ke Sungai Siput Selatan terdapat lebih kurang lapan buah kolam ternakan ikan

“Tiga kolam diusahakan oleh orang Melayu manakala pengusaha Cina mengusahakan lima buah kolam ikan dan apabila isu ini timbul maka ia turut menjejaskan hasil usaha kami,’’ katanya.

Seorang penduduk asal Kuala Dipang, Ghazali Darus, 75, pula berkata, pihak berkenaan perlu segera menyelesaikan isu itu kerana ia membabitkan sensitiviti umat Islam.

“Bagi pihak yang terlibat mestilah ambil tindakan segera kerana kita sudah tidak tahan dengan isu ternakan ikan diberi makanan bangkai khinzir tetapi apa boleh buat kita hanya orang kampung dan tidak boleh berbuat apa-apa,’’ ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan yang ditemui ketika walkabout di Pasar Tani Kampung Gajah turut kesal kerana penternak terbabit tidak memikirkan sensitiviti pengguna Islam dan hanya mentingkan soal keuntungan semata-mata.

“Kita amat sedih sekali bila penternak-penternak ini tidak memikirkan sensitiviti orang Melayu / Islam apabila memberi ikan ternakan mereka bangkai khinzir dan lebih malang lagi memasarkannya pula di pasar-pasar awam,” katanya.

Mohd Risdi Ghazali
Mohd Risdi Ghazali
Mohd Ghazali Darus
Mohd Ghazali Darus