IPOH – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan menampal iklan haram di sekitar bandar raya.

Ketua Urusetia dan Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, ia bukan sahaja berleluasa malah banyak infrastruktur awam turut dipenuhi dengan iklan-iklan haram terbabit.

“Dalam sebulan kita akan terima 10 hingga 20 kes membabitkan kegiatan ini di beberapa bandar seperti Ipoh, Teluk Intan dan Taiping.

“Kita juga ada bukti bergambar yang menunjukkan bukan sahaja kediaman orang ramai dicemari dengan iklan-iklan haram ini malah kawasan rumah kedai, tiang elektrik, hentian bas dan pondok telefon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, di sini.

Mohd Rawi berkata, memburukkan lagi keadaan iklan-iklan berbentuk poster yang dilekatkan di bangunan atau harta benda awam itu sukar untuk ditanggalkan.

Katanya, antara iklan yang dilekat dan digantung oleh pihak tidak bertanggungjawab itu berbentuk pinjaman wang, promosi produk dan sebagainya.

“Iklan yang dilekatkan itu memberi kesan kepada cat yang ada pada dinding bangunan atau kedai mereka. Kadang-kadang kena cat semula kawasan yang dilekatkan. Secara tak langsung kena pakai duit sendiri disebabkan kepentingan pihak lain,” katanya.

Mohd Rawi berkata, beliau tidak menolak penguatkuasaan yang longgar menyebabkan kegiatan berkenaan sukar dibendung meskipun ada pihak membuat aduan.

“Kami sendiri pun dah buat aduan di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) namun hingga kini saya fikir tiada sebarang jawapan diberikan untuk mencegah perkara ini daripada terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin kegiatan tersebut akan memberi gambaran negatif kepada negeri memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Perak 2017.

“Bukan sahaja rakyat tempatan merungut malah pelancong juga mungkin terkejut sekiranya ternampak iklan-iklan seumpama ini di sekitar Perak,” katanya.

-SinarHarian