Kuala Lumpur: Tindakan melampau apabila terdapat tokan dadah berani menampal poster iklan berkaitan penjualan syabu dan ganja secara terbuka di kawasan awam.

Iklan menawarkan dadah kepada orang ramai itu dikesan sengaja ditampal di dinding, papan tanda awam dan hentian bas di sekitar ibu kota sehingga menarik perhatian orang ramai.

Tindakan itu meresahkan orang ramai yang membaca iklan itu lengkap disertakan nombor telefon dan alamat individu perlu dihubungi jika berminat membeli dadah serta ganja.

Salah seorang pengadu, Mohd Yunus Abdullah, 34, berkata, dia terkejut apabila mendapati iklan itu ditampal di hentian bas berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Miharja, di sini.

Menurutnya, poster itu menyatakan individu yang mahu membeli ganja atau syabu boleh menghubungi nombor telefon individu dikenali sebagai Wong.

-mymetro