SEREMBAN – Tindakan sebuah kolej swasta menggunakan nama beberapa agensi kerajaan dipercayai sebagai tarikan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Iklan tersebut dipercayai dihantar secara rawak menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatApps kepada lepasan SPM.

Menerusi iklan berkenaan, tidak pula dinyatakan jenis pengajian ditawarkan secara spesifik kecuali mereka menyediakan biasiswa sebanyak RM12,000 dan kelas Bahasa Inggeris percuma untuk bidang penguat kuasa dan forensik khusus kerjaya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan tersebut jika dilihat secara kasarnya seolah-olah graduan yang memilih belajar di kolej berkenaan mudah mendapat peluang pekerjaan di agensi kerajaan terbabit.

Difahamkan bukan hanya di Negeri Sembilan, malah kolej terbabit juga dipercayai giat menarik pelajar lepasan SPM seluruh negara dengan mengundang mereka hadir ke sesi temu duga diatur di lokasi, tarikh dan waktu tertentu menggunakan iklan yang sama.

Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak kolej terbabit, namun tidak membuahkan hasil. Bagaimanapun agensi terlibat segera dirujuk bagi merungkai persoalan ini.

Semakan lanjut dilakukan agensi terlibat

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika diminta mengulas berkata, pihaknya tidak boleh memberikan sebarang komen buat masa ini berikutan semakan lanjut sedang dibuat terhadap perkara berkenaan.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima daripada orang ramai membabitkan iklan tersebut,” katanya yang turut menghantar beberapa anggota untuk membuat siasatan lanjut di lokasi temu duga diadakan.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman memberitahu, pihaknya akan menyemak iklan berkenaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Kita akan hubungi pihak kolej untuk dapatkan maklumat lebih lanjut. Sebab kita khuatir nama KPDNKK digunakan sebagai ‘umpan’ bagi menarik pelajar menyertai kolej terbabit.

“Pada masa sama, kita juga akan berhubung dengan ibu pejabat (KPDNKK) untuk mendapatkan pengesahan.

“Mana tahu jika pihak kolej ada berurusan dengan mereka untuk mendapatkan kebenaran menggunakan nama kementerian dalam iklan dikeluarkan,” katanya.

Jawapan serupa diterima daripada Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Jaapar.

“Kita akan semak perkara ini. Setahu saya, belum ada tawaran sedemikian dibuat (oleh Kastam),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali pula menyifatkan perbuatan kolej berkenaan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Memang amat tidak wajar untuk mana-mana institusi (pengajian tinggi) membuat pengiklanan komersial menggunakan nama (agensi kerajaan) seperti Jabatan Imigresen,” katanya.

Tindakan tidak beretika

“Tidak beretika,” ujar Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus ketika diminta mengulas berhubung iklan berkenaan yang didapati agak mengelirukan.

Menurutnya, banyak perkara yang boleh dipersoalkan misalnya nama kolej itu sendiri tidak dinyatakan dalam iklan tersebut.

“Apabila mereka menggunakan nama agensi kerajaan sebagai tarikan, orang ramai akan beranggapan bahawa peluang pekerjaan sudah tersedia selepas tamat pengajian. “Kalau betul, tidak apalah. Sebaliknya kalau memang tiada kelulusan daripada jabatan kerajaan terlibat, mana boleh ‘main petik’ saja nama mereka sewenang-wenangnya.

Justeru, beliau menasihatkan kolej terbabit supaya lebih profesional jika ikhlas ingin mengajak golongan remaja melanjutkan pelajaran di menara gading.

“Asasnya jika hendak buat apa-apa iklan pun, buatlah secara terbuka. Bukannya sekadar melalui WhatsApp dan SMS. Maklumat disertakan pula mesti lengkap dan jelas,” katanya.

-SinarHarian