KUALA KANGSAR – Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatangani penjawat awam bukan lesen untuk mereka bebas daripada sebarang siasatan salah laku rasuah.

Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Ahmad Shukri Mohamad Taib berkata, sekiranya menerima laporan, siasatan tetap dijalankan mengikut prosedur yang sama.

Menurutnya, dalam tempoh 10 bulan pertama ini, sebanyak 24 kertas siasatan berhubung salah laku rasuah melibatkan penjawat awam telah dibuka.

“Jumlah itu melibatkan 11 tangkapan dan sehingga kini 12 pertuduhan telah dijalankan.

“Ini menunjukkan tidak ada kekebalan meskipun ada antara mereka telah isytiharkan diri sebagai anggota bebas rasuah, jika kita terima laporan dan ada pengakuan, maka kesalahan itu tetap disiasat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi Yang Dipertua, Ahli Majlis dan Pegawai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

MPKK merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga melaksanakan IBR pada pemerintahan kerajaan baharu ini.

Sebanyak 167 jabatan dan agensi di Perak telahpun melaksanakan IBR sejak diperkenalkan pada 2017.

Ahmad Shukri berkata, laporan kesalahan rasuah yang diterima kebanyakannya melibatkan anggota yang terlibat dalam kerja penguatkuasaan.

“Ada tu memang ada, kebanyakan kes biasanya melibatkan anggota penguat kuasa kerana mereka lebih terdedah kepada pelakuan itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, SPRM Perak turut melaksanakan beberapa program di peringkat sekolah bagi menanam pemahaman mengenai integriti melalui ‘Wira Anti Rasuah’ dan ‘Sahabat Cilik SPRM.

“Setakat ini, kita telah jelajahi tiga sekolah dan akan diperluas ke beberapa sekolah lain, ianya lebih berkonsep game dan ceramah yang mudah difahami sesuai dengan peringkat usia mereka,” katanya – sinar