NEW YORK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ancaman keganasan dihadapi dunia tidak akan berakhir sehinggalah akar kepada permasalahan itu ditemui dan dihapuskan.

Beliau berkata penyelesaian terhadap krisis itu adalah dengan dunia mengiktiraf Palestin dan pada masa sama menghentikan tindakan Israel daripada mencabuli undang-undang antarabangsa.

“Peperangan melawan pengganas pada masa ini tidak akan berakhir sehinggalah akar kepada permasalahan itu ditemui, dihapuskan, dan hati serta minda rakyat dimenangi.

“Apa punca sebenar kepada masalah-masalah ini? Pada 1948, tanah penduduk Palestin dirampas untuk membentuk negara Israel.

“Rakyat Palestin dibunuh beramai-ramai dan dipaksa meninggalkan tanah mereka. Ladang-ladang dan rumah-rumah mereka dirampas,” kata Perdana Menteri semasa sesi perbahasan am Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73 dengan tema ‘Menjadikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Relevan Kepada Semua: Kepemimpinan Global dan Perkongsian Tanggungjawab Untuk Masyarakat yang aman, Saksama dan Lestari.’

Dr Mahathir berkata rakyat Palestin cuba melawan melalui perang konvensional dengan bantuan jiran-jiran yang bersimpati dengan mereka, namun rakan sekutu Israel akan memastikan cubaan itu gagal, dan mengakibatkan lebih banyak tanah Palestin dirampas, dan lebih banyak penempatan rakyat Israel dibina, sementara penduduk Palestin dihalang daripada memasuki penempatan itu yang dibina di atas tanah mereka.

“Rakyat Palestin pada mulanya cuba berlawan dengan lastik dan batu-batu. Mereka ditembak menggunakan peluru hidup dan ditangkap. Beribu-ribu dipenjarakan.

“Kecewa dan marah, tidak mampu berlawan dalam peperangan konvensional, rakyat Palestin mengambil jalan dengan apa yang kita panggil sebagai keganasan,” katanya.

Dr Mahathir berkata berikutan dunia gagal bertindak dengan sewajarnya, rakyat Palestin dan mereka yang bersimpati dengan nasib masyarakat itu mengambil tindakan melakukan keganasan.

“Dunia tidak peduli pun apabila Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, merampas kapal-kapal yang membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan di perairan antarabangsa. Rakyat Palestin cuba melancarkan roket-roket tetapi tidak memberi berkesan dan tidak mencederakan sesiapa.

“Tetapi tindak balas secara besar-besaran dilakukan Israel, dengan melancarkan bom roket dan mengebom hospital-hospital, sekolah dan bangunan-bangunan lain, membunuh orang awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak sekolah dan pesakit-pesakit di hospital dan ramai lagi,” katanya.

Beliau berkata bukan saja dunia gagal menghentikan tindakan Israel itu, tetapi menghargai mereka dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Dr Mahathir berkata Malaysia percaya bahawa satu-satunya cara bagi memerangi keganasan adalah dengan menghapuskan punca terhadap permasalahan itu.

“Berilah rakyat Palestin peluang untuk kembali menuntut semula tanah air mereka. Biarkan wujudnya negara Palestin. Biarlah wujud keadilan dan kedaulatan undang-undang. Memerangi mereka tidak akan menamatkan keganasan. Juga tidak mungkin dapat menghapuskan keganasan.

“Kita perlu mengingatkan diri kita bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti juga Liga Bangsa-Bangsa sebelum ini, ditubuhkan dengan niat murni untuk mengakhiri peperangan antara negara-negara.

“Ada yang tidak kena dengan cara kita berfikir, dengan nilai-nilai kita apabila mematikan seseorang dianggap membunuh tetapi mematikan berjuta-juta orang anda menjadi wira, dan sebahagian daripada kita percaya bahawa konflik antara negara-negara dapat diselesaikan dengan peperangan,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA