PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dukacita terhadap tindakan individu termasuk golongan artis dianugerahkan Datuk dan Datuk Seri yang terbabit dengan perbuatan melanggar undang-undang.

Beliau berkata, semua penerima gelaran Datuk Seri dan Datuk dari Pahang sepatutnya sudah tahu syarat serta etika harus dipatuhi dalam pemakaian gelaran itu.

“Semua individu yang mendapat Datuk, sudah tersurat dan tersirat dalam etika untuk memakai gelaran ini. Jika hendak diikutkan hati, saya mahu tarik semua anugerah.

“Saya dukacita jika ada individu bergelar Datuk berkelakuan seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran tiga rumah di Taman Sungai Isap 2, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, rumah berkenaan hangus dijilat api.

Semalam, pelakon dan penerbit filem terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam.

Farid Kamil menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) di Istana Abu Bakar, Pekan, pada 16 Disember tahun lalu yang membawa gelaran Datuk.

Tengku Abdullah berkata, jika berlaku perlanggaran etika pemakaian darjah kebesaran itu, beliau menggesa supaya jawatankuasa berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau juga tidak mahu menghukum mana-mana pihak bergelar Datuk jika individu terbabit melakukan kesalahan.

“Kalau sudah sedar dan mahu pulangkan sendiri darjah kebesaran itu lebih bersopan. Kita bukan hendak menghukum mana-mana pihak tetapi mereka sendiri tersilap langkah,” katanya.

-myMetro