PETALING JAYA: Najib Razak meminta Mujahid Yusof Rawa menjawab di mana sepatutnya tempat duduk seorang bekas perdana menteri dalam istiadat istana mengikut protokol susunan kekananan, selepas menteri itu berkata tempat duduknya di pertabalan Agong pada Selasa tidak dialihkan pada saat akhir.

Najib berkata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menuduh dia sendiri yang mahu ditempatkan di barisan pembesar, dan sengaja tidak membawa pakaian istiadat Orang Besar untuk jadi alasan tidak hadir.

“Macam-macam keluar dari mulut kekanda. Cuba tanya jika dia faham istiadat Istana atau tidak,” katanya di Facebook hari ini.

“Anda cuma pandai tulis warkah sahaja.”

Terdahulu, Mujahid yang juga pengerusi jawatankuasa khas istiadat pertabalan Agong ke-16 memberitahu media tempat duduk Najib di istiadat itu sebenarnya sudah ditetapkan, menjawab laporan bekas perdana menteri itu tidak hadir selepas perubahan tempat duduk.

“Najib sendiri beri alasan dia kena duduk di tempat Orang Besar Pahang. Dia kena tukar baju. Itu masalah dia. Kita sudah maklum lebih awal,” katanya.

Sebelum itu, Najib berkata dia tidak dapat hadir ke istiadat itu selepas menerima panggilan pada 6.30 pagi memaklumkan tempat duduknya di barisan depan sebagai bekas perdana menteri ditukar ke barisan belakang sebagai Orang Besar Pahang.

 

-FMT