IPOH– Urusan pengkebumian kesemua mangsa kebakaran di premis rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju semalam tidak dapat dilaksanakan hari ini kerana perlu menunggu laporan pergigian bagi proses pengecaman.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A.Sivanesan berkata kesemua jenazah juga akan diserahkan kepada pihak polis bagi urusan siasatan sebelum dituntut oleh waris mangsa.

“Pihak hospital masih mengesan rekod pergigian empat mangsa yang masih bersekolah, pakar pergigian akan membuat perbandingan untuk pengecaman.

“Selepas pihak hospital melakukan bedah siasat dan pengecaman, mayat akan diambil alih oleh PDRM untuk siasatan, setelah itu mayat akan diserahkan secepat mungkin kepada waris.

“Setakat ini tiga mayat sudah dibedah siasat dan pihak hospital cuba yang terbaik untuk mempercepatkan proses,pihak hospital perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPM) di sini pada Rabu.

Identiti mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu ialah P.Thiagarajun,40, yang merupakan pemilik premis, Mohd Nor Aiman Abdul Rahman, 16, Mohamad Nor Ikram Mohd Husni, 15, Mohd Ikhmal Izzudin Mohd Kamari, 16, Ahmad Faizal Amiruddin, 16 dan Mohamad Azhar Shah Rosli, 19.

Dalam pada itu, menurut Sivanesan, pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) akan membuat bayaran faedah pengurusan mayat untuk meringankan beban keluarga mangsa.

“Mereka (SOCSO) akan kaji empat mangsa yang umur kurang daripada 18 tahun dan dua orang lagi (mangsa) jika mereka adalah orang berinsurans di bawah akta SOCSO.

“Di bawah akta SOCSO, tiada had umur dan siasatan akan dibuat sama ada mereka bekerja di bawah akta, bayaran akan dibuat kepada keenam-enam mangsa,” katanya lagi.