KUALA LUMPUR: Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) Sdn Bhd akan terus memberikan kerja sama kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta pihak-pihak yang berkaitan dalam memastikan transisi peralihan kesemua data dan sistem perjalanan Umrah berlansung dengan baik dan lancar, demi menjaga kepentingan jemaah umrah.

Ia pada masa sama akur dengan arahan kerajaan untuk memberhentikan perkhidmatan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS) secara serta-merta pada 15 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan media hari ini syarikat itu memberitahu IMAMS merupakan satu lonjakan transformasi dalam pengurusan kawal selia Umrah di Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi IMAMS adalah sistem terbaik buat masa ini bagi menangani isu-isu penipuan di sepanjang nilai rantaian pengendalian umrah dan memperkasakan aktiviti pemantauan, penyiasatan dan penguatkuasaan pengendalian pakej umrah yang berada di pasaran secara lebih sistematik dan teratur.

Di samping dapat membantu agensi-agensi pelancongan memberikan perkhidmatan yang lebih efisien, IMAMS juga memberikan manafaat yang tinggi kepada para jemaah umrah.

Ini kerana IMAMS merupakan satu sistem bersepadu dan satu saluran yang berfungsi 24jam untuk berkhidmat bagi menyelesaikan masalah penipuan secara khusus, samada dari segi urusan visa, jadual perjalanan semasa umrah, penginapan dan perlindungan insurans.

Malah Sistem IMAMS ini telah diperakui oleh Kedutaan Arab Saudi di Malaysia sebagai yang terbaik di dunia buat masa ini.

IMAMS sudah pun membuktikan keberkesanannya melalui berberapa sesi percubaan bersama pihak kedutaan dan pengendali pakej umrah Malaysia.

Pembatalan IMAMS dibuat berikutan maklum balas orang ramai dan pengendali pakej umrah berhubung sistem terbabit.