SELINSING – Kuala Gula adalah salah satu produk pelancongan terkemuka di daerah Kerian yang menjadi tumpuan pengunjung untuk menyaksikan kepelbagaian spesies burung hijrah dari seluruh dunia.

Namun begitu, imej pelancongan utama daerah Kerian itu kini semakin tercalar dek tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah secara sesuka hati di tepi jalan utama ke pekan Kuala Gula.

Lebih malang, perbuatan itu sebenarnya dilakukan sendiri segelintir pengusaha ikan, udang sangkar dan nelayan di sini yang bertindak membuang sampah tidak di tempat yang betul.

Seorang penduduk dikenali Salleh Ahmad, 45, berkata, sejak dahulu, Majlis Daerah Kerian (MDK) ada menempatkan satu kawasan pembuangan sampah yang dikhaskan kepada penduduk di sini, untuk membuang sampah domestik seperti sisa buangan dari isi rumah.

Malangnya, Salleh menegaskan tong sampah bersaiz mega yang disediakan MDK di tepi jalan utama ke Pekan Kuala Gula, kini turut dijadikan sebagai lokasi pembuangan sisa-sisa sampah dari aktiviti perikanan.

“Selain itu, kawasan peletakan tong sampah mega itu kini turut dijadikan sebagai lokasi pembuangan dan pelupusan barangan tidak digunakan seperti kayu kayan, pukat dan sebagainya.

“Susulan keadaan itu, tong sampah MDK tidak lagi mampu menampung sampah sarap penduduk di sini,” katanya.

Perabot, perkakas elektrik rosak turut dibuang

Salleh berkata, selain sampah dapur, pihaknya turut kesal apabila ada penduduk membuang perabot dan perkakas elektrik yang rosak.

Menurutnya, tong sampah sedia ada sebenarnya tidak dapat menampung sampah sarap domestik penduduk kerana sikap penduduk yang mengambil mudah membuang peralatan yang rosak.

“Kesan negatif akibat sikap itu membuatkan pemandangan di lokasi berkenaan tampak jijik dan kotor akibat longgokan sampah sarap tidak terurus.

“Fenomena ini bukan perkara baru malah MDK sering menasihati penduduk supaya menggunakan kemudahan tong sampah besar disediakan untuk kegunaan sampah domestik sahaja.

“Jika berterusan sebegini, ianya mencalarkan imej Kuala Gula yang terkenal di mata dunia dan diharap MDK dapat mencari inisiatif lain seperti menambahkan beberapa lagi tong sampah di situ,” katanya.

MDK kutip sampah dua kali seminggu

Sementara itu, Yang Dipertua MDK, Abdul Khair Ahamad menegaskan kawasan dikenal pasti berlaku pencemaran sampah sebenarnya di luar seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Sungguhpun begitu, beliau memberi jaminan MDK tetap peka dengan masalah dihadapi penduduk dan menyediakan tong sampah besar dengan kekerapan kutipan dua kali seminggu.

“Biarpun kawasan itu tidak dikenakan cukai taksiran, MDK menyediakan satu tong sampah besar dengan kadar kekerapan kutipan sampah dua kali seminggu.

“Mengenai longgokan sampah melebihi had tong disediakan, MDK mendapati ianya bukan hanya sampah domestik, namun melibatkan juga sampah sarap dari pengusaha ternakan sangkar dan sampah dari aktiviti perikanan,” katanya.

Abdul Khair berkata, MDK kesal dengan perkara ini memandangkan pengusaha kolam ternakan akuatik dan nelayan perlu menguruskan sendiri sampah mereka.

“Ataupun mereka boleh terus menghubungi MDK bagi mendapatkan perkhidmatan tambahan mengutip sampah dengan kos ditetapkan kami.

“Memandangkan Kuala Gula adalah kawasan pelancongan, saya harap semua komuniti mempunyai kesedaran sivik dan tidak buang sampah sesuka hati,” katanya.