IPOH: Seramai 34 warga asing, termasuk pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam tiga operasi berasingan mulai malam Jumaat hingga awal pagi Sabtu.

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Kamalludin Ismail berkata, kesemua mereka yang berumur antara 20 tahun 40 tahun itu ditahan kerana melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti salah guna pas, tinggal melebihi masa di negara ini selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Di samping itu, katanya, hasil siasatan juga mendapati dua warga asing dikesan menggunakan dokumen palsu.

Menurutnya, dalam operasi pertama, pihaknya menahan enam wanita Vietnam di sebuah kafe bar korek di Chui Chak, Langkap manakala dalam operasi kedua, enam lelaki dan dua wanita warga Thailand di sebuah premis tomyam di Jalan Kuala Dipang – Kampar.

“Bagi operasi ketiga, kita berjaya menahan seramai 20 warga asing melibatkan 16 perempuan (13 warga China, tiga warga vietnam) empat lelaki (seorang warga vietnam, tiga warga tempatan yang kita syaki bekerja di sebuah pusat KTV di Jalan Medan Ipoh,” katanya pada sidang media di pejabatnya pada Sabtu.

Operasi yang disertai 21 pegawai Imigreseb itu bermula jam 10.30 malam Sabtu dan berakhir 4 pagi Sabtu.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 6 April 2019, pihak Imigresen Perak telah melakukan sebanyak 315 operasi, 3,065 (pemeriksaan), 897 (tangkapan) dan 55 kes tangkapan majikan.

Kamalludin berkata, pihaknya akan meneruskan operasi, termasuk tangkapan terhadap majikan yang masih menggaji atau melindungi warga asing yang didapati tidak memiliki permit atau dokumen yang sah.

Justeru, katanya, pihak majikan perlu mengambil pekerja warga asing secara teratur demi mengelakkan sebarang tindakan.

“Memang tidak ada kompromi dalam kita buat siasatan dan tangkapan melibatkan warga asing yang tidak memiliki pas dan dokumen yang sah,” ujarnya.