IPOH – Jabatan Imigresen Perak mengusir pulang 3,550 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal tahun lalu dan sebanyak 2,414 PATI ditahan dalam 665 operasi penguatkuasaan dijalankan termasuk secara bersepadu pada tahun sama.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, untuk tempoh Januari hingga Februari 2019 pula seramai 627 PATI lagi diusir pulang ke negara asal mereka.

“Untuk tempoh Januari sehingga Februari lalu pula, Jabatan Imigresen Malaysia Perak melaksanakan 118 operasi bersepadu dab seramai 490 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen. Selain itu, 16 majikan turut ditahan sepanjang tempoh ini.

“Imigresen Perak juga memastikan bahawa semua pintu masuk di negeri ini dikawal dengan cekap dan baik dengan memastikan warga asing benar-benar layak sahaja memasuki ke negara ini di samping mendaftarkan setiap perjalanan dilakukan oleh pelawat warga asing yang masuk dan keluar ke negara ini ke dalam sistem daftar pelawat Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Yahya Mat Nor (Pasir Panjang-Amanah), hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan ADUN yang sama mengenai faktor-faktor syarikat di Perak menggaji pekerja asing berbanding pekerja tempatan, Ahmad Faizal berkata, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, antara faktor utama adalah kurangnya minat rakyat tempatan bekerja di dalam sektor-sektor kritikal yang diklasifikasikan sebagai 3D iaitu dirty (kotor), dangerous (berbahaya) dan difficult (sukar).

Menurutnya, selain itu golongan belia lebih cenderung untuk bekerja dalam sektor yang dianggap lebih sesuai dengan peredaran zaman, berbanding dengan kerja-kerja tradisional seperti dalam bidang pertanian.

“Bagaimanapun, selepas mengambil alih pentadbiran, kerajaan Persekutuan yang baru mengambil beberapa inisiatif untuk mengawal kemasukan pekerja asing dan pada masa yang sama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Antara langkah diambil Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah dengan memansuhkan sistem pengambilan pekerja asing melalui ejen atau syarikat tertentu. Perkara ini akan diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya – sinar harian