KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen (Imigresen) negeri merampas lebih 30 kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu sejak awal tahun ini.

Terbaru, jabatan itu merampas kad berkenaan daripada dua lelaki Myanmar masing-masing berusia 18 dan 22 tahun, dalam ‘Ops Belanja’ selama tiga jam di sekitar bandar raya ini, petang semalam.

Dalam pemeriksaan dijalankan, dua lelaki terbabit yang ditahan di lokasi berasingan, mendakwa memperoleh kad itu dengan bantuan rakan senegara bekerja di Kuala Lumpur membabitkan bayaran sebanyak RM200.

Sebelum itu, lelaki berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pembersih sampah di tapak pembinaan di Kuala Nerus, berada di sebuah premis aksesori telefon bimbit di hadapan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Lelaki itu cuba meloloskan diri sebaik melihat kehadiran anggota Imigresen di kawasan berkenaan, namun gagal apabila ditahan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Seorang lagi lelaki terbabit ditahan ketika berada di sebuah premis telefon bimbit di Jalan Tok Lam, di sini.

Pengarah Imigresen Terengganu, Rahim Hanafi, berkata operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Mohd Yassin Mohd Yusof itu membabitkan sejumlah 27 anggota, termasuk dari MBKT dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu.

“Operasi dilakukan selepas menerima aduan kewujudan banyak premis warga asing menjalankan perniagaan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.

“Keadaan itu secara tidak langsung menjadikan kawasan sekitar kompleks hentian bas dibanjiri warga asing, terutama pada cuti hujung minggu, sekali gus menimbulkan suasana tidak selesa kepada orang ramai,” katanya.

Dalam operasi kali ini, seramai 67 warga asing diperiksa dan enam daripada mereka ditahan membabitkan warga Myanmar, Pakistan serta Bangladesh berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Kesemua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada secara haram di negeri ini – berita harian