SERI KEMBANGAN: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan satu sindiket penipuan Program Rehiring ketika serbuan di sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat di Sri Serdang, Seri Kembangan, semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa serta Unit Operasi Khas (QRT) itu juga, pihak Imigresen turut menahan seramai 68 lelaki warga asing di premis berkenaan yang turut dijadikan transit sementara mendapatkan kerja.

Premis itu dijadikan pejabat bagi sebuah syarikat yang mempunyai kelulusan untuk menjalankan Program Rehiring, namun ia disalahgunakan dengan menyelitkan beberapa anak syarikat yang pengurusnya adalah warga Bangladesh.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan berkenaan, pihaknya menahan 66 warga Bangladesh dan dua rakyat India yang baru masuk ke Malaysia tidak lebih daripada satu bulan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

“Pada masa sama, satu lagi pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan penerimaan dan pemprosesan di bawah Program Rehiring.

“Hasil pemeriksaan, beberapa dokumen dan permohonan yang tidak teratur dikenal pasti. Hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati terdapat warga asing yang hanya menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) menjadi ahli lembaga pengarah atau rakan kongsi beberapa syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak Imigresen juga mendapati perjanjian dokumen antara syarikat itu dengan beberapa syarikat lain iaitu pemilik tengah, kilang dan sebagainya diragui.

“Semakan ke atas semua syarikat ini juga mendapati syarikat ini memohon jumlah pekerja asing terlalu banyak bagi kuota pekerja asing melalui Program Rehiring dengan dokumen yang diragui.

“Kami merampas beberapa dokumen sokongan, 98 pasport warga Bangladesh dan Indonesia serta wang tunai berjumlah hampir RM250,000 yang disyaki hasil kutipan untuk pemeriksaan kesihatan, levi, bayaran pas sosial, permohonan PLKS, termasuk bayaran perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan permohonan di bawah Program Rehiring.

“Dua wanita tempatan yang bertugas di syarikat itu ditahan selain 11 lelaki warga Bangladesh yang berada di dalam pejabat ketika serbuan dilakukan.

“Dua lagi lelaki warga Bangladesh turut ditahan yang dikenalpasti sebagai pengarah syarikat dan anaknya yang bertindak sebagai ‘transporter’ bagi menguruskan warga negara asing ini untuk menjalani proses pemeriksaan kesihatan.

“Kesemua tahanan ini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, untuk siasatan dan tindakan susulan. Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya – berita harian