KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan masih menyiasat identiti tiga suspek bersenjata yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis berhampiran ladang kelapa sawit di Batu 2, Jalan Kalabakan-Keningau, Tawau, kelmarin.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata identiti tiga suspek berkenaan belum dikenal pasti.

Katanya, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina yang mendakwa seorang suspek adalah komander kumpulan Abu Sayyaf seperti dilaporkan sebuah akhbar.

“Saya tak tahu dari mana mereka dapat maklumat itu sedangkan kita tak terima maklumat sebegitu daripada pasukan keselamatan negara jiran.

“Kita masih menyiasat termasuk untuk mengenal pasti siapa mereka (suspek ditembak),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang kelmarin, tiga suspek bersenjata mati ditembak sebelum polis menemui selaras raifal M16-A1, sepucuk Revolver, pedang samurai, topeng, sarung tangan dalam PERODUA Kancil dinaiki mereka.

Kereta itu dilaporkan hilang di Kota Kinabalu pada 2010.

Dalam sidang media semalam, Hazani dilaporkan berkata, pasukan keselamatan tidak menolak kemungkinan tiga suspek adalah anggota kumpulan gerakan militan Daesh berdasarkan keupayaan serta senjata dimiliki suspek.

Beliau berkata, siasatan terperinci dijalankan termasuk bantuan pihak Bukit Aman, Polis Antarabangsa (INTERPOL) serta pihak berkuasa Filipina dan siasatan juga menjurus jika ketiga-tiga suspek ada kaitan dengan beberapa tangkapan ahli kumpulan Daesh di negeri ini, baru-baru ini – berita harian