KUALA LUMPUR – Alvin Chow yang sedang diburu polis atas kesalahan menghina Nabi Muhammad dalam akaun Twitternya dikesan berada di Lembah Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sejak pencarian dilancarkan semalam belum ada sebarang perkembangan terbaru tangkapan suspek itu.

“Belum dilaporkan perkembangan terbaharu tentang pencarian Alvin Chow dan masih sedang dikesan dan dipercayai berada di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang melibatkan 63 pegawai kanan dan anggota PDRM 2018 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Katanya, selain disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia ia juga disiasat polis mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Semalam Mohamad Fuzi dalam kenyataan memberitahu, sebanyak 929 laporan telah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara berhubung kes menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda, Saidatina Aishah menerusi laman media sosial Facebook.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 kertas siasatan telah dibuka bagi tindakan lanjut.

Mohamad Fuzi berkata, susulan laporan tersebut, sebanyak empat individu telah dikenalpasti sebelum tindakan diambil ke atas mereka.

Ujarnya, tiga daripada mereka iaitu pemilik akaun Facebook Bakakuk, Ayea Yea dan Yazid Kong telah ditahan kelmarin dan semalam.

“Selain itu, pihak kita juga sedang memburu seorang lagi individu yang menggunakan akaun Twitter Alvin Chow yang dipercayai masih berada di ibu negara untuk diambil tindakan.

“Kesemua mereka akan disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegas beliau. – MalaysiaGazette