Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani (MOA) menggesa pihak yang bertanggungjawab menularkan video “nasi plastik” berjenama Cap Rambutan agar tampil membantu kementerian itu menyiasat dakwaan tersebut.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras negeri Perak, Abdul Rahim Rashid berkata, kementerian telah melaksanakan siri pemeriksaan di tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak dan keputusan awal mendapati tiada sebarang benda asing di dalam kandungan beras jenama itu.

Beliau berkata, maklumat secara langsung daripada pengadu itu akan memudahkan kementerian mengumpul sampel daripada kampit beras yang ditularkan untuk ujikaji kimia.

Katanya, sehingga hari ini, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan awal di gudang beras di tiga buah negeri bagi memastikan kesahihan laporan beras plastik yang tular di laman sosial.

“Siasatan awal kami mendapati tiada sebarang mesin memproses beras daripada bahan plastik di kilang ini, dan mesin yang ada adalah untuk mencuci dan membungkus beras.

“Selain itu, kita juga telah mendapatkan sampel beras mentah daripada pengilang dan analisis awal ujian ketahanan beras, ujian iodin dan ujian bakar serta masak mendapati beras ini mempunyai kanji dan tulen, bukannya diperbuat daripada plastik,” katanya kepada pemberita.

plastik 1

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan dan pengumpulan sampel beras di kilang OEL Distribution Sdn Bhd ( Perak) selain menjalankan ujikaji ke atas beras yang dimasak di sini, hari ini.

Rahim memberitahu, setakat ini pihaknya menerima tiga aduan melibatkan ketulenan beras daripada pelbagai jenama sejak tahun 2016.

Katanya, keputusan awal ke atas sampel dari kampit beras cap Rambutan Super Special Tempatan (SST 5%) itu diberikan secara rambang namun pihaknya akan menghantar sampel-sampel itu ke Jabatan Kimia bagi penelitian teknikal.

Menurutnya, kesimpulan awal daripada pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya mendapati tuduhan bahawa beras jenama tersebut diperbuat daripada plastik adalah tidak berasas.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada maklumat yang tidak diketahui kesahihannya yang disebarkan di media sosial, sebaliknya merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Sebelum ini, video yang memaparkan percakapan seorang lelaki yang mendakwa beras cap Rambutan sebagai beras plastik telah tular di media sosial.

Video itu memaparkan aksi seorang individu lelaki mengepal nasi dan membalingnya ke lantai tetapi kepalan nasi itu tidak pecah menyebabkan individu itu mendakwa nasi itu dihasilkan daripada beras plastik.

 

plastik 12