Industri Ayam Telur Lonjakkan Imej Trong
industri-ayam
December 31, 20161Views
TRONG: Sektor penternakan ayam telur di Trong, Taiping merupakan satu projek besar dan penting yang mampu melonjakkan imej Terong sebagai hub utama pertanian di daerah Larut Matang Selama.

Trong kini menjadi lokasi pilihan ramai pengusaha penternakan ayam, sama ada ayam telur ataupun ayam daging kerana kedudukan alam semula jadinya yang amat sesuai.

Menurut seorang pengusaha syarikat pengeluaran telur ayam, Heap Soon Farming Sdn. Bhd, Ong Soon Ping, beliau memilih kawasan Jalan Pecah Batu di sini sebagai lokasi perniagaannya kerana terdapat punca bekalan air bersih semula jadi yang menyihatkan ayam ternakannya.

“Saya memilih Trong kerana di sini terdapat sumber air yang paling penting untuk ayam ternakan saya.

“Airnya memang berkhasiat macam spritzer dan mineral dan apabila ayam ternakan saya meminumnya, ia menghasilkan telur yang memang cantik dan merah,’’ katanya kepada pemberita di ladang ternakan ayamnya pada Sabtu.

Menurut Soon Ping, beliau yang mengambil pendekatan penternakan ayam secara tertutup menggunakan mesin moden buatan Jepun untuk memproses telur.

“Mesin ini boleh memproses 60,000 biji telur setiap jam dan dapat menjimatkan tenaga pekerja,’’ katanya.

Beliau yang telah menjalankan perniagaan selama 10 tahun dengan modal pelaburan lebih RM70 juta, setakat ini mempunyai 20 reban ayam besar bertelur dan lima reban ayam kecil yang menempatkan sebanyak 1.3 juta ekor ayam dengan penghasilan sebanyak 800,000 biji telur sehari untuk pasaran seluruh negara.

Sementara itu ADUN Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid berkata, kehadiran lima penternak ayam yang menggunakan sistem penternakan moden secara tertutup bukan sahaja dapat melonjakkan imej Trong sebagai hub pertanian utama di daerah Larut Matang Selama, malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Katanya, selain itu sistem moden secara tertutup yang digunakan oleh syarikat-syarikat berkenaan juga dapat membendung masalah seperti pertambahan populasi lalat.

“Jadi, pada saya penggunaan sistem moden secara tertutup ini amat penting sebab kita tidak mahu ternakan ini dibuat secara terbuka menyebabkan masalah lain seperti populasi lalat bertambah dan pencemaran bau najis ayam.

“Jadi sistem moden yang terbaik ini yang patut kita wajibkan kepada semua yang menternak ayam sama ada ayam telur ataupun ayam daging,’’ katanya.