IPOH: Meskipun fenomena food truck (trak makanan) sudah bercambah di negeri Perak, namun ia masih belum mencapai tahap yang memuaskan dari sudut promosi serta suntikan wow factor.

Perwakilan Dewan Belia, Ainul Amjad Zulkifli berkata, kawasan food truck yang ada buat masa ini hanya ala kadar tetapi tiada elemen wow factor, yang mampu menarik minat pengunjung bersantai dengan rakan dan keluarga.

foodtruck_wowfactor“Lebih baik sekiranya di kawasan operasi mereka ini dinaikkan lagi suasananya dengan penambahan lampu neon atau LED yang berwarna warni, selain persembahan kumpulan muzik atau live band, barulah hidup suasana di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan usul bertajuk Membangun Secara Inkusif Bidang Agro Pelancongan dan Perniagaan Food Truck di negeri Perak, pada Persidangan Dewan Belia Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu ujarnya, pengusaha makanan berasaskan trak itu boleh mengambil contoh yang dilaksanakan di Kuala Lumpur iaitu TAPAK.

Jelasnya, TAPAK mempunyai sistem berpelanggan di mana pelanggan yang membeli mendapat nombor giliran jika jumlah pengunjung ramai.

“Di TAPAK misalnya, pelanggan diwajibkan untuk membuang bekas makanan dan minuman ke dalam tong sampah yang disediakan dan memastikan meja bersih selepas digunakan,” katanya.

Ainul turut mencadangkan kaedah pemasaran media sosial sebagai contoh mewujudkan tanda pagar atau hashtag tersendiri yang mampu mempromosi identiti operasi mereka.

“Sebagai contoh yang ada #bazaarpaknil #tapak dan sebagainya, dengan adanya penggunaan hashtag ini para pelanggan mudah untuk mencari gambar di lokasi food truck itu,” katanya.