KUALA LUMPUR : Kerajaan sepatutnya melihat industri vape sebagai aktiviti yang boleh menjana pendapatan negara, kata Ahli Parlimen PKR.

Malah tambah Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar) industri itu turut membuka peluang pekerjaan dengan kemunculan ramai usahawan bumiputera yang menceburkan diri dalam perniagaan.

“Malaysia juga telah dikenalpasti sebagai pengeksport kedua yang terbesar di dunia, kerajaan patut mengambil peluang yang mana industri vape ini boleh menyumbang ke hasil pendapatan negara di samping dapat mengukuhkan ekonomi rakyat Malaysia sendiri.

“Dianggarkan lebih kurang 5,000 usahawan bumiputera yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dan lebih kurang 50,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan ini dapat berkembang setelah industri ini diregulasikan,”katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.

Justeru, beliau menempelak Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwanya berlengah kerana sehingga kini gagal menyatakan tentang peraturan penggunaan vape dalam negara dan masih membuat rampasan dan serbuan di premis-premis.

“Pihak KKM sepatutnya mengambil tindakan memberikan penerangan secara terperinci mengenai undang-undang sedia ada yang diguna pakai oleh KKM kepada pemain industri supaya mereka dapat mematuhi sebarang garis panduan sekiranya ada yang (memerlukan) mereka untuk patuhi.

“Bila nak bentang? Kalau nak bentang jangan serbu dan rampas dulu. Jangan biarkan rakyat keliru, apa hala tuju kerajaan,” tambah beliau.

Ahli Parlimen PKR itu turut memetik tindakan menyerbu 29 premis perniagaan vape di Seremban baru-baru ini yang mengakibatkan kerugian besar kepada pemain industri tersebut.

Untuk rekod, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata kementeriannya menjangkakan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha akan dilakukan selewat-lewatnya pada persidangan Dewan Rakyat Mac 2020.

Paad 8 September lalu, beliau berkata, KKM dalam fasa meneliti penggubalan akta yang disifatkan lebih menyeluruh serta dapat menangani pelbagai isu terkini.  – MalaysiaGazette