PULAU TAWAR – Skuter elektrik MAD Velocifero yang dipamerkan di Madrasatul Muallim Al-Arabiyyah, di sini bersempena Majlis Penutup Kem Shields (Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya) anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Jerantut mencuri perhatian ramai.

Kenderaan mesra alam yang menjimatkan itu dibawa syarikat Cervello Tres dari Shah Alam untuk dicuba pelajar madrasah berkenaan.

Pengarah Urusan syarikat terbabit, Azrul Helmi Hafiz Abd Malek berkata, pihaknya tidak hanya membuka peluang kepada pelajar mencubanya, malah turut menginfakkannya kepada madrasah berkenaan.

“Terpulang kepada pihak madrasah untuk menggunakannya sama ada untuk digunakan pelajar berulang ke masjid atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, skuter elektrik itu bukan sahaja untuk sukan ekstrem dan off road, malah sesuai digunakan sebagai kenderaan harian.

Pihaknya turut melantik madrasah tersebut sebagai wakil jualan bagi mereka yang berminat dapatkan skuter elektrik berkenaan.

“Orang ramai yang berminat untuk mencuba dan mengetahui tentang skuter ini boleh hadir ke madrasah ini untuk mencubanya.

“Skuter ini terdiri dari pelbagai jenis dengan kuasa elektrik yang berbeza bermula dari 500 watt sehingga 2,000 watt. Harga juga berbeza mengikut kuasa elektrik itu di mana harga bermula dari RM3,890 sehingga RM6,300,” katanya.

Menurutnya, skuter berkenaan mula dilancarkan di Seksyen 13, Shah Alam oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ia diimport khas dari Itali. Saya cadangkan untuk kegunaan harian, mungkin sesuai menggunakan skuter elektrik dengan kuasa 500 wat atau 1,300 wat,” katanya. -SinarHarian