PASIR MAS – “Awalnya saya sangka ada pergaduhan di hadapan rumah, tapi sebaik saja buka pintu, saya lihat sekumpulan remaja sedang memukul seekor tedung selar sepanjang empat meter.”

Demikian luahan suri rumah, Norazila Mat Hussain, 44, yang dikejutkan dengan bunyi bising dari arah luar rumahnya di Kampung Bukit, Bunut Susu, di sini, semalam.

Norazila berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika dia bersiap untuk masuk tidur.

“Mula-mula saya tak mahu keluar sebab seolah-olah ada pergaduhan sedang berlaku, tetapi seorang anak mahu saya keluar untuk lihat apa yang terjadi.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja keluar rumah, saya terkejut mendapati sekumpulan remaja sedang memukul seekor tedung selar,” katanya.

Difahamkan, ular tersebut sebelum itu cuba masuk ke dalam rumah Norazila, namun gagal sebelum bergerak menyeberangi jalan dan ditemui sekumpulan remaja berkenaan.

Sementara itu, warga emas, Hassan Deraman, 70, berkata, sepanjang hampir 50 tahun menetap di Kampung Bukit, Bunut Susu, itu kali pertama dia melihat secara dekat spesies ular tersebut sepanjang empat meter.

“Pakcik sebelum ini hanya lihat ular tedung biasa yang ada di kampung ini,” katanya.