BAU busuk dari dalam guni yang ditemui di tebing Sungai Pak berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai di Jalan Lukut-Penyulau, Kanowit, menggemparkan guru sekolah terbabit, hari ini.

Mereka yang mengesyaki guni berkenaan berisi mayat segera menghubungi talian kecemasan meminta bantuan untuk mengesahkan kandungan guni berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya kemudiannya menerima panggilan daripada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit pada 12.09 tengah hari yang meminta bantuan bomba untuk memeriksa guni berkenaan.

“Sejurus menerima panggilan itu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba segera turun ke tebing sungai untuk mengambil guni berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, apabila guni dibuka, pihaknya mendapati bau busuk itu sebenarnya bangkai seekor babi,” katanya.

“Guru sekolah terbabit yang sebelum itu yakin guni berkenaan berisi mayat manusia, akhirnya lega selepas mengetahui kandungan sebenar yang berbau busuk itu,” katanya – hmetro