PARIT BUNTAR – Mana-mana jawatankuasa masjid dan surau di Perak yang ingkar dengan larangan membenarkan penganjuran sebarang aktiviti politik di dalam masjid dan surau seliaan mereka boleh dianggap menderhaka kepada Sultan Perak.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pihaknya mengharapkan teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar masjid dan surau di negeri ini tidak disalahgunakan pihak tertentu untuk tujuan politik dengan mengadakan program diambil berat.

Menurutnya, menggantung sepanduk tertera logo politik benar-benar diambil serius dan didengari rakyat, terutama jawatankuasa dua institusi itu.

“Kesemua pihak perlu memahami masjid dan surau merupakan tempat ibadat khusus untuk umat Islam menghadap ALLAH SWT dan beriktikaf di mana hanya urusan pengajian dan syarahan agama yang membolehkan kedua institusi itu digunakan.

“Politik adalah urusan keduniaan yang tidak ada kena mengena dengan agama. Apabila cakap-cakap politik dalam rumah ibadat, boleh menimbulkan pergaduhan dalam dua kumpulan politik dan kesannya satu ketika dahulu ada terjadi satu masjid dua imam dan sebagainya.

“Mana-mana jawatankuasa (masjid dan surau) tidak istiqamah dan tidak laksanakan arahan larangan baginda Tuanku (Sultan Perak), dia boleh dianggap derhaka kepada perintah raja,” katanya kepada media pada majlis penyampaian sumbangan fakir miskin anjuran Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak (MAIPk) di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Harussani sendiri turut menyaksikan seramai 200 golongan fakir miskin dari daerah Kerian dan Selama menerima sumbangan wang tunai dan beras bernilai RM50,000.

Turut hadir, Pengarah Urusan Epic Valley Holding Sdn Bhd, Tan Sri Fng Ah Seng.

Harussani bagaimanapun menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan negeri mengadakan tapisan dan penelitian semula kelayakan setiap ahli jawatankuasa terpilih bagi menerajui pentadbiran masjid dan surau di Perak.

Menurutnya, ucapan larangan diberikan Sultan Perak adalah secara umum disampaikan melalui media dan pihaknya mengharapkan kesemua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini bersikap istiqamah.

“Tidak perlu tapis untuk pastikan mereka (jawatankuasa masjid dan surau) bebas agenda politik kerana sekiranya tindakan sebegitu dibuat akan mendatangkan masalah.

“Bila jawatankuasa faham larangan, mereka akan istiqamah dan memastikan sebarang perkara politik ditinggalkan di luar kawasan masjid dan surau,” katanya.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau didakwa membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatannya, sementara siasatan dilakukan – sinar harian