IPOH: Exco Perak, Razman Zakaria. berkata, beliau akan menerima apa juga keputusan siasatan polis terhadap dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu majlis di Lenggong, minggu lalu.

Menurut Pengerusi Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil itu, beliau telah memberi keterangan berhubung kes itu tetapi belum dimaklumkan perkembangan lanjut mengenainya.

“Polis tanya apa berlaku, bagaimana perkara itu berlaku, itu bidang kuasa mereka dan mereka pun ada prosedur operasi standard (SOP), jadi apa juga keputusan polis kita terima,” katanya kepada pemberita ketika meninjau penyediaan makanan kepada petugas barisan hadapan oleh Ipoh Central Kitchen (ICK) di Restoran Simpang Tiga di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, siasatan itu tidak menjejaskan jadual programnya yang telah dirancang.

Menurutnya, tugas sebagai wakil rakyat dalam kerajaan memerlukan beliau terus turun padang untuk meninjau masalah dihadapi rakyat.

“Program tidak boleh tangguh dan tak boleh terganggu dengan apa yang berlaku ini. Pemimpin kalau tak turun dan lihat apa yang berlaku di bawah, maka tak bolehlah nak selesaikan masalah.

“Jadi program memang tetap diteruskan, cumanya harus tahu dan ikut SOP,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak boleh meneruskan tugas seperti biasa dan tidak perlu direhatkan.

Pada 18 April, tular di media sosial gambar Razman bersama-sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan beberapa individu hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong.

Sehari selepas itu, beliau membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebook selain turut hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.