KUALA LUMPUR : Naib Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mendakwa tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) membatalkan jemputan perasmian kongres Pemuda dan Wanita parti berkenaan adalah bertujuan untuk menutup mulutnya daripada menegur kepimpinan sedia ada.

Jelasnya, beliau telah menerima surat jemputan tersebut daripada Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan sudah pun membalasnya namun jemputan berkenaan dibatalkan secara tiba-tiba.

Azmin yakin, tindakan AMK itu didalangi oleh pihak-pihak tertentu.

“Tradisi ini sudah diamalkan sejak bertahun-tahun.

“Timbalan presiden rasmikan kongres wanita dan pemuda manakala presiden pula rasmikan kongres.

“Ini bukan mengenai saya tetapi mengenai kedudukan presiden dan timbalan presiden.

“Apakah mereka tidak benarkan saya bersuara dalam kongres?

“Ini adalah percubaan untuk menutup mulut saya daripada menegur kepimpinan parti sedia ada.

“Saya yakin Ketua AMK tidak berani melakukan perkara seperti ini jika tiada tangan-tangan ghaib di belakangnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Siri Forum Menteri 2019 yang dianjurkan oleh Institut Tadbir Negara, di sini hari ini.

Buat pertama kalinya, kongres tahunan AMK akan dirasmikan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri, 6 Disember ini.

Ini kerana secara tradisinya, kongres sayap pemuda parti itu akan dirasmikan oleh timbalan presiden.

Menurut Azmin, insiden terbaharu ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat dan beliau mengakui ada pihak yang cuba melemahkan perjuangan dalam parti.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan sebarang individu atau kumpulan tertentu yang cuba melemahkan parti berkenaan.

Tambahnya, beliau menyerahkan kepada ahli-ahli parti untuk membuat pertimbangan sendiri.

“Bagi saya tidak mengapa. Biar ahli-ahli parti buat pertimbangan sendiri tetapi saya berpendapat ini sesuatu yang tidak sihat.

“Ini bukan cara untuk mengukuhkan parti tetapi untuk memecah belahkan parti,” katanya lagi. -MalaysiaGazette