KULIM: Seorang wanita ketakutan selepas menemui sepasang pakaian dalam di keretanya yang dipecah masuk di Taman Senangin, semalam.

Noorhazlin Mohamad Saad, 38, menemui coli dan seluar dalam wanita di dalam kotak simpanan barang tempat duduk penumpang pada jam 11.30 pagi ketika memeriksa kenderaannya.

“Saya hairan melihat kotak simpanan barang di bahagian papan muka sebelah kerusi penumpang hadapan terbuka.

“Apabila diperiksa, saya menemui sehelai coli dan seluar dalam bukan milik saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dia tidak menyedari keretanya dipecah masuk sehingga diperiksa sebelum ke kedai, pagi semalam.

Noorhazlin berkata, keretanya diletakkan di halaman rumah berpagar dan berkunci tetapi terlupa mengunci kenderaannya.

“Ketika membuka pintu kereta pagi semalam, keadaan kereta berselerak tetapi saya sangkakan disebabkan anak saya.

“Sejumlah kecil wang anak saya yang ditinggalkan dalam kereta hilang,” katanya.

Noorhazlin mendakwa jirannya turut kehilangan RM500 dan sebuah telefon pintar selepas kereta mereka dikatakan dipecah masuk, dipercayai dalam kejadian sama.

Bimbang dengan penemuan pakaian dalam wanita dan kejadian keretanya dipecah masuk, beliau membuat laporan polis pada jam 12.30 tengah hari semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan laporan – berita harian