SUAMI isteri dipercayai pengedar dadah ditahan bersama 83.34 gram dadah jenis syabu dan ganja di rumah mereka di Desa Mawar, Muadzam Shah, Rompin, malam tadi.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, kedua-duanya berusia 31 dan 38 tahun ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan suspek mengambil masa 15 minit sebelum akur membuka pintu.

“Sebaik pintu dibuka, anggota kemudian menahan suspek dan menjalankan pemeriksaan fizikal pada badannya, namun tidak menemui apa-apa objek mencurigakan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di bawah timbunan barang lusuh di dalam bilik tengah menemui dua paket plastik lut sinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui aluminium yang berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja di atas meja kecil.

Katanya, kedua-dua bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM12,050 dan mampu menampung permintaan penagih tegar sekitar Muadzam Shah.

Azly berkata, siasatan awal juga mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau yang disiasat mengikut Seksyen 15 (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek disahkan positif dadah jenis methampethamine, manakala isterinya negatif dan tidak memiliki rekod jenayah.

“Pasangan itu ditahan reman di lokap Balai Polis Rompin selama dua minggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” katanya – hmetro