KAMUNTING – “Ini rezeki daripada arwah untuk kami, walaupun dia dah tiada.”

Demikian kata Yusoff Mat, penerima faedah pengurusan mayat (FPM) bagi kes pencen penakat kepada waris mangsa yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan regat, Kamunting berhampiran sebuah klinik, 21 Mac lalu.

Yusoff berkata, pemergian isterinya, Hasimah Chin, 60, sesuatu yang mengejutkan mereka sekeluarga.

“Syukur dengan wang ini, ia sedikit sebanyak dapat ringankan beban kami sekeluarga selepas pemergian isteri.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bantu dan saya akan gunakan wang tersebut untuk menyelesaikan segala hutangnya jika ada,” katanya.

Dalam kejadian itu, Hasimah maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang suri rumah berusia 52 tahun.

Pengurus Perkeso Taiping, Rafidah Abdul Rahim berkata, Allahyarham Hasimah mula mencarum sejak tahun 1977.

“Allahyarham sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci dan bekerja dengan lapan majikan sepanjang tempoh caruman dibayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan cek berkenaan di rumah Yusoff di Kampung Jana Sambungan, di sini semalam.

Beliau berkata, selepas kejadian tersebut, waris layak menerima FPM sebanyak RM1,500, di samping pencen bulanan sebanyak RM475 yang akan dibayar selepas ini.

“Malah pencen tersebut juga akan diterima warisnya seumur hidup,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyerahan cek itu, Pegawai Khas Adun Kamunting, Mohd Radzi Ismail dan Ketua Kampung Jana Kamunting, Engku Aznan Engku Abu Bakar.

-SinarHarian