IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu jabatan yang bertanggungjawab, bertindak segera dalam menyelenggara jalan raya di seluruh negeri ini.

Ini kerana, katanya, ia berkaitan dengan soal nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Ini melibatkan soal nyawa. Kita tidak boleh ambil masa banyak, kadang-kadang kita dapati, dalam masa dua ke tiga bulan, baru mahu jalankan kerja. Segerakanlah.

“Jangan bagi alasan kononnya tidak ada peruntukan. Jika tiada, beri tahu kepada kerajaan negeri; (kalau banyak alasan), lebih baik tak payah jadi penyelenggara jalan.

“Pada awalnya, masing-masing berebut hendak ambil kontrak sebagai penyelenggara jalan, namun apabila timbul masalah, lambat bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Lebihan Pendapatan 2017 daripada Felcra Berhad kepada kerajaan negeri.

mb-soal-nyawa 4

Dr Zambry diminta mengulas mengenai keadaan jalan raya di sekitar negeri ini yang masih belum diselenggara dengan sempurna.

Dalam jawapannya, beliau menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera dalam menyelengara jalan-jalan raya seluruh negeri dan tidak menangguh-nangguhkan kerja-kerja pembaikan jalan demi keselamatan pengguna.

Katanya, apabila aduan diterima dan didapati keadaan jalan itu sendiri kurang sesuai untuk terus digunakan maka tindakan segera harus diambil tanpa menunggu tempoh masa yang lama.

Menteri Besar berharap, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga dapat menaik taraf infrastruktur jalan raya di seluruh Perak dan mengambil serius soal pencahayaan jalan.

Beliau yang sedih dengan insiden kemalangan jalan raya di negeri ini sejak akhir-akhir ini, turut meminta PUSPAKOM melakukan pemeriksaan yang lebih kerap ke atas kenderaan berat.

Dalam tempoh dua bulan ini, kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan-kenderaan berat kerap dilaporkan termasuk nahas yang meragut banyak nyawa.

Antaranya ialah kematian empat sekeluarga yang dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat MRSM Lenggong dan terbaharu, kemalangan yang meragut tiga nyawa di Kampung Teluk Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, berhampiran Kampung Teluk Memali, Teluk Intan pada pagi Rabu.

Dalam kemalangan itu, Pegawai Khas kepada ADUN Sungai Manik, Allahyarham Ahmad Nor al-Zaidin Ahmad Azzudin, isteri dan adiknya maut di tempat kejadian.