LANGKAP: Rakyat dingatkan supaya jangan sama sekali membenarkan pembangkang terus menipu mereka, seperti sejak pilihan raya umum lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, pembangkang akan terus menipu jika rakyat melayan mereka.

“Kali inilah kita akan buktikan bahawa kita tidak lagi mahu ditipu, dulu ditipu-tipu banyak kali, cukuplah tu, enough is enough.

“Pengundi-pengundi perlu sedar bahawa mereka banyak kali dalam pilihan raya yang lalu dipermainkan, dimanipulasi dengan berbagai-bagai cerita, hasutan, fitnah dan tohmahan,” katanya ketika melancarkan Briged Gempur 2314, Pemuda Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Sungai Manik di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Ketua Pemuda BN Pasir Salak, Dr Faizal Tajudin dan ketua-ketua bahagian parti komponen.

Tajudin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menasihatkan rakyat supaya jangan percaya dengan taktik wakil rakyat pembangkang yang sering melompat ke kawasan lain.

“Mereka tahu rakyat tolak disebabkan dalam tempoh empat lima tahun tidak buat apa-apa dan janji-janji pilihan raya tidak ditunaikan.

“Ini penting kerana kalau calon itu bercakap bohong, tidak menunaikan janji, biasanya pengundi akan hilang kepercayaan. Bila hilang kepercayaan, macam mana nak menang, itu yang cari kawasan lain tu,” ujarnya.

Sebaliknya, kata Tajudin, perkara itu tidak berlaku di dalam BN kerana mereka memberi khidmat berterusan kepada rakyat, tanpa mengira musim.

Beliau yakin, pengundi sekarang sudah bijak serta tidak mudah untuk ditipu dan digula-gulakan lagi.

1/3