SUNGAI SIPUT: ‘Orang kata saya terlalu sempoi..tak apa…tapi inilah Menteri Besar anda’, merupakan reaksi Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu terdapat komen-komen tentang personaliti pemimpin nombor satu negeri itu.

Menurutnya setelah hampir dua bulan memegang tampuk pemerintahan negeri, beliau menyedari ada pihak-pihak yang mungkin tidak senang dengan sikap cerianya.

Katanya sifatnya bersahajanya itu bukan lakonan untuk memenangi hati orang ramai tetapi ia adalah sifat semulajadi dirinya yang sememangnya dikenali rakan-rakannya sejak dahulu lagi.

Beliau bagaimana pun mengakui kemungkinan ada pihak yang terasa dengan sifatnya itu dan tidak menolak ada ruang untuknya memperbaiki diri.

“Iman saya masih nipis, masih banyak perlu diperbaiki. Tetapi, yang palsu tetap palsu, yang benar tetap benar. Ada yang kata saya sempoi, gila, tak apa.

“Tapi inilah Menteri Besar anda sekarang,”katanya sambil menerima tepukan di atas kerendahan hatinya di Majlis Rumah Terbuka PPBM Sungai Siput di sini,hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik serta barisan kepimpinan PPBM negeri.

Jelasnya, beliau banyak mempelajari benda baru dalam tempoh singkat sejak menerima amanah sebagai Menteri Besar Perak dan mengganggapnya sebagai pengajaran istimewa.

Beliau meletakkan azam akan terus belajar untuk memperbaiki diri.

Dalam usaha menyesuaikan diri dengan jadual harian yang sentiasa padat, Ahmad Faizal berkata beliau tetap tidak lupa mencuri masa dalam usaha memantapkan akidah dalam bidang keagamaan menerusi program-program tertentu baik bersama kerabat diraja atau masyarakat setempat.

Umum mengetahui, sifat riang dan peramah Ahmad Faizal atau lebih mesra dikenali dengan ‘Peja’ ketika bersama orang ramai malah gelagatnya sentiasa mencuit hati apabila diminta berswafoto.

1/5