IPOH– Kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada pemain skuad Bos Gaurus jika mempamerkan aksi cemerlang membenam pasukan Sabah Ahad ini, sekaligus layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata insentif itu sebagai suntikan semangat buat para pemain, yang sebelum ini berjaya meraih slot terakhir ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan PKNS FC 2-0.

“Kali terakhir Perak berada di Piala Malaysia pada tahun 2007 dan ini adalah masa terbaik pasukan Perak untuk beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia seperti mana yang diharapkan oleh seluruh rakyat Perak.

“Apabila kita melangkah separuh akhir, sasaran sudah tentu ke perlawanan akhir dan pertembungan dengan pasukan Sabah walaupun kita tidak pernah bertemu sebelum ini, kerana mereka beraksi pada Liga Premier tetapi keempat-empat pasukan berkemampuan layak ke perlawanan akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Casuarina@Meru, di sini pada Rabu.

Beliau juga yakin Perak mampu mencipta kejayaan dalam perlawanan separuh akhir menentang Sabah di tempat sendiri Ahad ini, di samping mendapat bekalan gol yang selesa untuk berentap di Likas pula.

“Pihak PAFA sendiri dengan bantuan kerajaan negeri, kita memberi insentif kepada seluruh pemain Perak untuk beri nilai tambah sekaligus mereka lebih bersemangat.

“Sebagaimana mereka menunjukkan aksi perlawanan ketika bertemu PKNS FC yang lepas, pada perlawanan suku akhir tiada siapa meletak harapan untuk Perak ke selaruh akhir kerana kita tidak pernah menang dengan pasukan itu sebelum ini,” katanya.