IPOH: Kerajaan negeri Perak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam di negeri ini.

Bantuan khas itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika membentangkan Bajet 2018 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Bantuan khas kewangan itu turut dipanjangkan kepada guru-guru I’dadi, Thanawi, tadika Islam, guru sandaran tidak terlatih dan pegawai sambilan harian.

Menurut Dr Zambry, semua guru KAFA, takmir, imam, bilal, siak, ketua kampung dan tok batin negeri Perak yang memperolehi bantuan khas RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan, akan ditambah RM500 lagi oleh kerajaan negeri.

“RM1,000 akan dibayar pada Disember 2017 menggunakan peruntukan kewangan tahun semasa, manakala bakinya RM1,000 akan dibayar menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan,” katanya sambil nemberitahu ia melibatkan peruntukan hampir RM22 juta.

Selain itu, kata Dr Zambry, insentif khas kepada bakal pesara kerajaan negeri yang diperkenalkan sejak 2012, akan diteruskan tahun depan dan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000.

Di samping itu, kata beliau, pemberian insentif itu akan diperluaskan daripada hanya kumpulan pelaksana kepada semua kumpulan pengurusan dan profesional Gred 41 dan ke atas.

“Pemberian bantuan khas kewangan dan insentif ini adalah tanda terima kasih pentadbiran kerajaan Barisan Nasional atas sumbangan penjawat-penjawat awam,” ujarnya.